Allah: ( الله ) Lafaz yang Maha
Mulia yang merupakan nama dari Zat Ilahi yang Maha Suci serta wajib adanya yang
berhak memiliki semua macam pujian dan sanjungan.
Lafadz ini disebut juga
lafadz Jalalah, dan juga disebut Ismu Zat .
Iaitu Zat yang menciptakan langit, bumi dan seisinya termasuk kita sebagai umat
manusia ini. Dan Dialah Tuhan seru sekalian alam.
Adapun nama-nama lain,
maka setiap nama itu menunjukkan suatu sifat Allah yang tertentu dan oleh sebab
itu bolehlah dianggap sebagai sifat bagi lafaz yang Maha Mulia.
Berikut ini adalah 99
nama Allah SWT (Asmaul Husna) beserta maknanya:
1. Ar-Rahmaan: ( الرحمن ) Maha Pengasih, iaitu pemberi
kenikmatan yang agung-agung dan pengasih di dunia.
2. Ar-Rahim: ( الرحيم ) Maha Penyayang, iaitu pemberi
kenikmatan yang di luar jangkaan dan penyayang di akhirat.
3. Al-Malik: ( الملك ) Maha Merajai/ Menguasai /Pemerintah,
iaitu mengatur kerajaanNya sesuai dengan kehendakNya sendiri.
4. Al-Quddus: ( القدوس ) Maha Suci, iaitu tersuci dan bersih
dari segala cela dan kekurangan.
5. As-Salaam: ( السلام ) Maha Penyelamat, iaitu pemberi
keselamatan dan kesejahteraan kepada seluruh makhlukNya.
6. Al-Mu’min: ( المؤمن ) Maha Pengaman / Pemelihara
keamanan, iaitu siapa yang bersalah dan makhlukNya itu benar-benar akan diberi
seksa, sedang kepada yang taat akan benar-benar dipenuhi janjiNya dengan pahala
yang baik.
7. Al-Muhaimin: ( المحيمن ) Maha Pelindung/Penjaga / Maha
Pengawal serta Pengawas, iaitu memerintah dan melindungi segala sesuatu.
8. Al-’Aziiz: ( العزيز ) Maha Mulia / Maha Berkuasa, iaitu
kuasaNya mampu untuk berbuat sekehendakNya
9. Al-Jabbaar: ( الجبار ) Maha Perkasa / Maha Kuat /
Yang Menundukkan Segalanya, iaitu mencukupi segala keperluan, melangsungkan
segala perintahNya serta memperbaiki keadaan seluruh hambaNya.
10. Al-Mutakabbir: ( المتكبر ) Maha Megah / Maha Pelengkap
Kebesaran. iaitu yang melengkapi segala kebesaranNya, menyendiri dengan sifat
keagungan dan kemegahanNya.
11. Al-Khaaliq: ( الخالق ) Maha Pencipta, iaitu mengadakan
seluruh makhluk tanpa asal, juga yang menakdirkan adanya semua itu.
12. Al-Baari’: ( البارئ ) Maha Pembuat / Maha
Perancang / Maha Menjadikan, iaitu mengadakan sesuatu yang bernyawa yang
ada asal mulanya.
13. Al-Mushawwir: ( المصور ) Maha Pembentuk / Maha Menjadikan
Rupa Bentuk, memberikan gambaran atau bentuk pada sesuatu yang berbeza dengan
lainnya. (Al-Khaaliq adalah mengadakan sesuatu yang belum ada asal mulanya atau
yang menakdirkan adanya itu. Al-Baari’ ialah mengeluarkannya dari yang sudah
ada asalnya, manakala Al-Mushawwir ialah yang memberinya bentuk yang sesuai
dengan keadaan dan keperluannya).
14. Al-Ghaffaar: ( الغفار ) Maha Pengampun, banyak pemberian
maafNya dan menutupi dosa-dosa dan kesalahan.
15. Al-Qahhaar: ( القهار ) Maha Pemaksa, menggenggam segala
sesuatu dalam kekuasaanNya serta memaksa segala makhluk menurut kehendakNya.
16. Al-Wahhaab: ( الوهاب ) Maha Pemberi / Maha Menganugerah,
iaitu memberi banyak kenikmatan dan selalu memberi kurnia.
17. Ar-Razzaaq: ( الرزاق ) Maha Pengrezeki / Maha Pemberi
Rezeki, iaitu memberi berbagai rezeki serta membuat juga sebab-sebab
diperolehnya.
18. Al-Fattaah: ( الفتاح ) Maha Membukakan / Maha
Pembuka , iaitu membuka gedung penyimpanan rahmatNya untuk seluruh
hambaNya.
19. Al-’Aliim: ( العليم ) Maha Mengetahui, iaitu mengetahui
segala yang maujud dan tidak ada satu benda pun yang tertutup oleh
penglihatanNya.
20. Al-Qaabidh: ( القابض ) Maha Pencabut / Maha Penyempit
Hidup / Maha Pengekang, iaitu mengambil nyawa atau menyempitkan rezeki
bagi siapa yang dikehendaki olehNya.
21. Al-Baasith: ( الباسط ) Maha Meluaskan / Maha Pelapang
Hidup / Maha Melimpah Nikmat, iaitu memudahkan terkumpulnya rezeki bagi
siapa yang diinginkan olehNya.
22. AI-Khaafidh: ( الخافض ) Maha Menjatuhkan / Maha
Menghinakan / Maha Perendah / Pengurang, iaitu terhadap orang yang
selayaknya dijatuhkan akibat kelakuannya sendiri dengan memberinya kehinaan,
kerendahan dan seksaan.
23. Ar-Raafi’: ( الرافع ) Maha Mengangkat / Maha
Peninggi, iaitu terhadap orang yang selayaknya diangkat kedudukannya kerana
usahanya yang giat, iaitu termasuk golongan kaum yang bertaqwa.
24. Al-Mu’iz: ( المعز ) Maha Menghormati / Memuliakan / Maha
Pemberi Kemuliaan/Kemenangan, iaitu kepada orang yang berpegang teguh pada
agamaNya dengan memberinya pentolongan dan kemenangan.
25. Al-Muzil: ( المذل ) Maha Menghina / Pemberi kehinaan,
iaitu kepada musuh-musuhNya dan musuh ummat Islam seluruhnya.
26. As-Samii’: ( السميع ) Maha Mendengar.
27. Al-Bashiir: ( البصير ) Maha Melihat.
28. Al-Hakam: ( الحكم ) Maha Menghukum / Maha
Mengadili, iaitu sebagai hakim yang menetapkan / memutuskan yang tidak seorang
pun dapat menolak keputusanNya, juga tidak seorang pun yang berkuasa merintangi
kelangsungan hukumNya itu.
29. Al-’Adl: ( العدل ) Maha Adil. Serta sangat sempurna
dalam keadilanNya itu.
30. Al-Lathiif: ( اللطيف ) Maha Menghalusi / Maha
Teliti / Maha Lembut serta Halus, iaitu mengetahui segala sesuatu yang
samar-samar, pelik-pelik dan kecil-kecil.
31. Al-Khabiir: ( الخبير ) Maha Waspada/ Maha
Mengetahui.
32. Al-Haliim: ( الحليم ) Maha Penyabar / Maha Penyantun /
Maha Penghamba, iaitu yang tidak tergesa-gesa melakukan kemarahan dan tidak
pula gelojoh memberikan siksaan.
33. Al-’Adzhiim: ( العظيم ) Maha Agung, iaitu mencapai puncak
tertinggi dan di mercu keagungan kerana bersifat dengan segala macam sifat
kebesaran dan kesempunnaan.
34. Al-Ghafuur: ( الغفور ) Maha Pengampun, banyak pengampunanNya
kepada hamba-hambaNya.
35. Asy-Syakuur: ( الشكور ) Maha Pembalas / Maha Bersyukur,
iaitu memberikan balasan yang banyak sekali atas amalan yang kecil.
36. Al-’Aliy: ( العلي ) Maha Tinggi Martabat-Nya / Maha
Tinggi serta Mulia, iaitu mencapai tingkat yang setinggi-tingginya yang tidak
mungkin digambarkan oleh akal fikiran sesiapa pun dan tidak dapat difahami oleh
otak yang bagaimanapun pandainya.
37. Al-Kabiir: ( الكبير ) Maha Besar, yang kebesaranNya tidak
dapat dicapai oleh pancaindera ataupun akal manusia.
38. Al-Hafidz: ( الحفيظ ) Maha Pemelihara Maha
Pelindung / Maha Memelihara, iaitu menjaga segala sesuatu jangan sampai
rosak dan goyah. Juga menjaga segala amal perbuatan hamba-hambaNya, sehingga
tidak akan disia-siakan sedikit pun untuk memberikan balasanNya.
39. Al-Muqiit: ( المقيت ) Maha Pemberi kecukupan/ Maha
Pemberi Keperluan , baik yang berupa makanan tubuh ataupun makanan rohani.
40. Al-Hasiib: ( الحسيب ) Maha Penjamin / Maha
Mencukupi / Maha Penghitung, iaitu memberikan jaminan kecukupan kepada
seluruh bamba-hambaNya pada hari Qiamat.
41. Al-Jaliil: ( الجليل ) Maha Luhur, iaitu yang memiliki
sifat-sifat keluhuran kerana kesempurnaan sifat-sifatNya.
42. Al-Kariim: ( الكريم ) Maha Pemurah, iaitu mulia tanpa had
dan memberi siapa pun tanpa diminta atau sebagai penggantian dan sesuatu
pemberian.
43. Ar-Raqiib: ( الركيب ) Maha Peneliti / Maha
Pengawas Maha Waspada, iaitu yang mengamat-amati gerak-geri segala sesuatu
dan mengawasinya.
44. Al-Mujiib: ( المجيب ) Maha Mengabulkan, iaitu yang memenuhi
permohonan siapa saja yang berdoa padaNya.
45. Al-Waasi’: ( الواسع ) Maha Luas Pemberian-Nya ,
iaitu kerahmatanNya merata kepada segala yang maujud dan luas pula ilmuNya
terhadap segala sesuatu.
46. Al-Hakiim: ( الحكيم ) Maha Bijaksana, iaitu memiliki
kebijaksanaan yang tertinggi kesempurnaan ilmuNya serta kerapiannya dalam
membuat segala sesuatu.
47. Al-Waduud: ( الودود ) Maha Pencinta / Maha Menyayangi,
iaitu yang menginginkan segala kebaikan untuk seluruh hambaNya dan juga berbuat
baik pada mereka itu dalam segala hal dan keadaan.
48. Al-Majiid: ( المجيد ) Maha Mulia, iaitu yang mencapai
tingkat teratas dalam hal kemuliaan dan keutamaan.
49. Al-Ba’ithu: ( الباعث ) Maha Membangkitkan, iaitu
membangkitkan semangat dan kemahuan, juga membangkitkan para Rasul dan
orang-orang yang telah mati dari kubur masing-masing nanti setelah tibanya hari
Qiamat.
50. Asy-Syahiid: ( الشهيد ) Maha Menyaksikan / Maha Mengetahui
keadaan semua makhluk.
51. Al-Haq: ( الحق ) Maha Haq / Maha Benar yang kekal dan
tidak akan berubah sedikit pun.
52. Al-Wakiil: ( الوكيل ) Maha Pentadbir / Maha
Berserah / Maha Memelihara penyerahan, yakni memelihara semua urusan
hamba-hambaNya dan apa-apa yang menjadi keperluan mereka itu.
53. Al-Qawiy: ( القوى ) Maha Kuat / Maha Memiliki
Kekuatan , iaitu yang memiliki kekuasaan yang sesempurnanya.
54. Al-Matiin: ( المتين ) Maha Teguh / Maha Kukuh atau
Perkasa / Maha Sempurna Kekuatan-Nya , iaitu memiliki keperkasaan yang
sudah sampai di puncaknya.
55. Al-Waliy: ( الولى ) Maha Melindungi, iaitu melindungi
serta mengaturkan semua kepentingan makhlukNya kerana kecintaanNya yang amat
sangat dan pemberian pertolonganNya yang tidak terbatas pada keperluan mereka.
56. Al-Hamiid: ( الحميد ) Maha Terpuji, yang memang sudah selayaknya
untuk memperoleh pujian dan sanjungan.
57. Al-Muhshii: ( المحصى ) Maha Menghitung / Maha
Penghitung, iaitu yang tiada satu pun tertutup dari pandanganNya dan semua
amalan diperhitungkan sebagaimana wajarnya.
58. Al-Mubdi’: ( المبدئ ) Maha Memulai/Pemula / Maha
Pencipta dari Asal, iaitu yang melahirkan sesuatu yang asalnya tidak ada dan
belum maujud.
59. Al-Mu’iid: ( المعيد ) Maha Mengulangi / Maha
Mengembalikan dan Memulihkan, iaitu menumbuhkan kembali setelah lenyapnya
atau setelah rosaknya.
60. Al-Muhyii: ( المحي ) Maha Menghidupkan, iaitu memberikan
daya kehidupan pada setiap sesuatu yang berhak hidup.
61. Al-Mumiit: ( المميت ) Maha Mematikan, iaitu mengambil
kehidupan (roh) dari apa-apa yang hidup.
62. Al-Hay: ( الحي ) Maha Hidup, iaitu sentiasa kekal
hidupNya itu.
63. Al-Qayyuum: ( القيوم ) Maha Berdiri Dengan
Sendiri-Nya , iaitu baik ZatNya, SifatNya, Af’alNya. Juga membuat
berdirinya apa-apa yang selain Dia. DenganNya pula berdirinya langit dan bumi
ini.
64. Al-Waajid: ( الواجد ) Maha Penemu / Maha Menemukan, iaitu
dapat menemukan apa saja yang diinginkan olehNya, maka tidak berkehendakkan
pada suatu apa pun kerana sifat kayaNya yang secara mutlak.
65. Al-Maajid: ( الماجد ) Maha Mulia, (sama dengan no. 48
yang berbeda hanyalah tulisannya dalam bahasa Arab, Ejaan sebenarnya no. 48
Al-Majiid, sedang no. 65 A1-Maajid).
66. Al-Waahid: ( الواحد ) Maha Esa.
67. Al-Ahad: ( الأحد ) Maha Tunggal.
68. Ash-Shamad: ( الصمد ) Maha Diperlukan / Maha
Diminta / Yang Menjadi Tumpuan, iaitu selalu menjadi tujuan dan harapan
orang di waktu ada hajat keperluan.
69. Al-Qaadir: ( القادر ) Maha Berkuasa/ Maha Kuasa /
Maha Berupaya
70. Al-Muqtadir: ( المقتدر ) Maha Menentukan.
71. Al-Muqaddim: ( المقدم ) Maha Mendahulukan / Maha Menyegera,
iaitu mendahulukan sebahagian benda dari yang lainnya dalam mewujudnya, atau
dalam kemuliaannya, selisih waktu atau tempatnya.
72. Al-Muakhkhir: ( المؤخر ) Maha Menangguhkan / Maha
Mengakhirkan / Maha Membelakangkan / Maha Melambat-lambatkan., iaitu melewatkan
sebahagian sesuatu dari yang lainnya.
73. Al-Awwal: ( الأول ) Maha Pemulaan / Maha Pertama,
iaitu terdahulu sekali dari semua yang maujud.
74. Al-Aakhir: ( الآخر ) Maha Penghabisan / Yang Akhir, iaitu
kekal terus setelah habisnya segala sesuatu yang maujud.
75. Azh-Zhaahir: ( الظاهر ) Maha Zahir / Maha Nyata / Maha
Menyatakan, iaitu menyatakan dan menampakkan kewujudanNya itu dengan
bukti-bukti dan tanda-tanda ciptaanNya
76. Al-Baathin: ( الباطن ) Maha Tersembunyi, iaitu tidak dapat
dimaklumi ZatNya, sehingga tidak seorang pun dapat mengenal ZatNya itu.
77. Al-Waalii: ( الوالى ) Maha Menguasai / Maha Menguasai
Urusan / Yang Maha Memerintah, iaitu menggenggam segala sesuatu dalam
kekuasaanNya dan menjadi milikNya.
78. Al-Muta’aalii: ( المتعال ) Maha Suci/Tinggi , iaitu
terpelihara dari segala kekurangan dan kerendahan.
79. Al-Bar: ( البار ) Maha Dermawan / Maha Bagus (Sumber
Segala Kelebihan) / Yang banyak membuat kebajikan, iaitu banyak
kebaikanNya dan besar kenikmatan yang dilimpahkanNya.
80. At-Tawwaab: ( التواب ) Maha Penerima Taubat, iaitu
memberikan pertolongan kepada orang-orang yang melakukan maksiat untuk
bertaubat lalu Allah akan menerimanya.
81. Al-Muntaqim: ( المنتقم ) Maha Penyiksa / Yang Maha
Menghukum, kepada mereka yang bersalah dan orang yang berhak untuk memperoleh
siksaNya.
82. Al-’Afuw: ( العفو ) Maha Pemaaf / Yang Maha Pengampun,
menghapuskan kesalahan orang yang suka kembali untuk meminta maaf padaNya.
83. Ar-Rauuf: ( الرؤف ) Maha Pengasih / Maha Mengasihi,
banyak kerahmatan dan kasih sayangNya.
84. Maalikul Mulk: ( المالك الملك ) Maha Pemilik Kekuasaan
/ Maha Menguasai kerajaan / Pemilik Kedaulatan Yang Kekal, maka segala perkara
yang berlaku di alam semesta, langit, bumi dan sekitarnya serta yang di alam
semesta itu semuanya sesuai dengan kehendak dan iradatNya.
85. Zul-Jalaali Wal
Ikraam: ( ذوالجلال والإكرام )
Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan / Maha Memiliki Kebesaran dan
Kemuliaan. Juga Zat yang mempunyai keutamaan dan kesempurnaan, pemberi kurnia
dan kenikmatan yang amat banyak dan melimpah ruah.
86. Al-Muqsith: ( المقسط ) Maha Mengadili / Maha Saksama,
iaitu memberikan kemenangan pada orang-orang yang teraniaya dari tindakan
orang-orang yang menganiaya dengan keadilanNya.
87. Al-Jaami’: ( الجامع ) Maha Mengumpulkan / Maha Pengumpul,
iaitu mengumpulkan berbagai hakikat yang telah bercerai-berai dan juga
mengumpulkan seluruh umat manusia pada hari pembalasan.
88. Al-Ghaniy: ( الغنى ) Maha Kaya Raya / Maha Kaya serta
Serba Lengkap, iaitu tidak berkehendakkan apa juapun dari yang selain ZatNya
sendiri, tetapi yang selainNya itu amat mengharapkan padaNya.
89. Al-Mughnii: ( المغنى ) Maha Pemberi kekayaan / Maha
Mengkayakan dan Memakmurkan, iaitu memberikan kelebihan yang berupa kekayaan
yang berlimpah-ruah kepada siapa saja yang dikehendaki dari golongan
hamba-hambaNya.
90. Al-Maani’: ( المانع ) Maha Membela atau Maha Menolak /
Maha Pencegah, iaitu membela hamba-hambaNya yang soleh dan menolak sebab-sebab
yang menyebabkan kerosakan.
91. Adh-Dhaar: ( الضار ) Maha Mendatangkan Mudharat / Maha Pembuat
Bahaya / Maha Pemberi bahaya, iaitu dengan menurunkan seksa-seksaNya
kepada musuh-musuhNya
92. An-Naafi’: ( النافع ) Maha Pemberi Manfaat , iaitu
meluaslah kebaikan yang dikurniakanNya itu kepada semua hamba, masyarakat dan
negeri.
93. An-Nuur: ( النور ) Maha Pemberi Cahaya / Maha
Bercahaya, iaitu menonjokan ZatNya sendiri dan menampakkan untuk yang selainNya
dengan menunjukkan tanda-tanda kekuasaanNya.
94. Al-Haadi: ( الهادى ) Maha Pemberi Petunjuk / Yang
Memimpin dan Memberi Pertunjuk, iaitu memberikan jalan yang benar kepada segala
sesuatu agar berterusan adanya dan terjaga kehidupannya.
95. Al-Badii’: ( البديع ) Maha Indah / Tiada Bandingan
/ Maha Pencipta yang baru, sehingga tidak ada contoh dan yang menyamai sebelum
keluarnya ciptaanNya itu.
96. Al-Baaqi: ( الباقع ) Maha Kekal, iaitu kekal hidupNya
untuk selama-Iamanya
97. Al-Waarits: ( الوارث ) Maha Membahagi / Maha
Mewarisi / Maha Pewaris, iaitu kekal setelah musnahnya seluruh makhluk.
98. Ar-Rasyiid: ( الرشيد ) Maha Cendekiawan / Maha Pandai /
Bijaksana / Maha Memimpin, iaitu yang memimpin kepada kebenaran, iaitu
memberi penerangan dan panduan pada seluruh hambaNya dan segala peraturanNya
itu berjalan mengikut ketentuan yang digariskan oleh kebijaksanaan dan
kecendekiawanNya.
99. Ash-Shabuur: ( الصبور ) Maha Penyabar yang tidak
tergesa-gesa memberikan seksaan dan tidak juga cepat melaksanakan sesuatu
sebelum masanya.
No comments:
Post a Comment